UNJURAN pendaftaran kenderaan bagi sekurang-kurangnya 12 bulan akan datang menunjukkan Proton Saga merekodan peningkatan yang konsisten.
Bagaimanapun, data semasa masih belum menunjukkan tanda jelas sama ada model itu mampu memecahkan penguasaan gandingan kenderaan keluaran Perodua dalam pasaran kereta penumpang Malaysia.
Carta menunjukkan Bezza akan terus naik melepas 11,000 unit sebulan, konsisten dan stabil manakala Saga dijangka naik perlahan dan menuju sekurang-kurangnya 9,700 unit pendaftaran sebulan.
Data pendaftaran sebenar bagi tempoh Januari-Oktober 2025 mengukuhkan lagi penguasaan barisan keluaran kereta Perodua dalam segmen kenderaan petrol.
Bezza muncul sebagai model petrol paling kerap didaftarkan dengan 82,202 unit, diikuti Axia (69,515) dan Myvi (58,691).
Proton Saga berada di tempat keempat dengan 57,079 unit, satu pencapaian kukuh tetapi masih belum mencabar kedudukan tiga teratas keluarga Perodua.
Pasaran EV pula menunjukkan peningkatan minat tetapi angka pendaftaran masih jauh lebih kecil berbanding kenderaan petrol.
Proton e.MAS 7 mencatat pendaftaran EV tertinggi dengan 6,954 unit bagi tempoh yang sama, diikuti oleh BYD Sealion (3,142) dan BYD Atto 3 (3,129). Tesla Model Y berada di bawah paras 3,000 unit, manakala model EV lain kekal dalam julat ratusan.
Semua carta dalam analisis ini dibina menggunakan data OpenDOSM, merangkumi 650,000+ pendaftaran kenderaan seluruh negara antara Januari hingga Oktober 2025.
nota: Model bukan linear turut diuji dan menghasilkan arah unjuran yang hampir sama.
tamat/munir



Comments
Post a Comment