Komen pengikut Dr Akmal neutral-positif, tunggu dan lihat

MEDIA sosial sering digunakan sebagai petunjuk awal untuk memahami reaksi kelompok penyokong terdekat terhadap sesuatu kenyataan politik.

Dalam konteks berkenaan, satu analisis dilakukan ke atas komen pengikut Facebook Dr Akmal Saleh berikutan cadangannya untuk membubarkan Perikatan Nasional (PN) dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).

Analisis ini hanya membabitkan komen pengikut beliau sendiri di Facebook. Oleh itu, dapatan ini bukan mewakili sentimen keseluruhan masyarakat atau ekosistem media sosial, sebaliknya memberi gambaran reaksi dalam kelompok pengikut akaun Facebook beliau.

Analisis dilakukan ke atas 346 komen daripada jumlah keseluruhan 3,400 komen, menggunakan pendekatan simple random sampling (pensampelan rawak mudah) dengan tahap keyakinan 95 peratus dan margin ralat 5 peratus

Dari sudut sentimen, data menunjukkan pola neutral-positif. Sentimen neutral membentuk majoriti, diikuti sentimen positif yang ketara, manakala sentimen negatif berada pada paras yang kecil. 

Ini menandakan bahawa cadangan berkenaan tidak menerima penolakan dalam kalangan pengikut beliau. Tapi, ia juga tidak mencetuskan lonjakan emosi atau sokongan yang lantang.


Pemerhatian ke atas keywords word cloud menunjukkan perbualan banyak tertumpu kepada UMNO, PAS, Muafakat Nasional di samping ungkapan seperti setuju dan sokong yang menjurus ke arah perbualan mengenai isu gabungan dan identiti parti. 

Pendek kata, ramai yang setuju tetapi kebanyakannya sekadar menyebut nama parti atau gabungan seperti yang disuarakan oleh Dr Akmal tetapi tidak ramai dalam kalangan mereka yang berbual kesan terhadap rakyat.

Carta ini memaparkan perkataan paling kerap digunakan oleh pengikut Facebook Dr Akmal sebagai reaksi terhadap cadangan berkenaan. 

UMNO, PAS, setuju, sokong dan Muafakat Nasional menguasai perbualan dan kehadiran DAP hanya bersifat perbandingan dan bukan perbincangan dasar.

Secara ringkas, data menunjukkan cadangan berkenaan diterima secara sederhana, tidak ditolak, dan memperlihatkan kecenderungan ke arah pendekatan tunggu dan lihat.

Dapatan ini wajar dibaca sebagai reaksi awal penyokong terdekat dan bukan gambaran sentimen keseluruhan masyarakat.

tamat



Comments