Kenyataan Zahid neutral-negatif, wujud 2 tafsiran

MEDIA sosial sering menjadi ruang awal untuk melihat bagaimana sesuatu kenyataan politik diterima masyarakat. 

Dalam konteks ini, satu analisis ringkas dilakukan ke atas komen pengikut Facebook Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ke atas satu hantarannya sebagai reaksi terhadap kenyataan Ahli Parlimen, Yeo Bee Yin.  

Hantaran jenis status di Facebook Zahid Hamidi itu disiarkan berikutan mahkamah menolak permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 22 Disember 2025.

Kira-kira 360 komen daripada lebih 12,000 komen yang direkodkan pada hantaran berkenaan dipilih sebagai sampel untuk dilakukan analisis. 


Apa yang ketara adalah kehadiran 15.42 peratus sentimen negatif. Walaupun bukan majoriti, peratusan ini menunjukkan bahawa sebahagian pengikut Facebook Zahid Hamid meluahkan ketidakpuasan hati.

Selain itu, keputusan sentimen ini juga membawa dua tafsiran. 

Ini dapat dilihat apabila sebahagian pengguna menumpukan perbincangan kepada kenyataan Yeo Bee Yin manakala sebahagian lagi membawa perbualan ke arah isu dalaman parti, termasuk soal serangan balas, sokongan dan kestabilan politik.

Hasil analisis yang dipaparkan pada word cloud dan bag of words secara ringkasnya menunjukkan wujud dua tafsiran berkenaan. 
 

Berdasarkan word cloud ini, hantaran Zahid Hamidi jelas ada dua tafsiran iaitu reaksi terhadap kenyataan pihak luar selepas keputusan mahkamah dan mesej dalaman untuk meredakan tindak balas dan polemik dalam kalangan UMNO sendiri.

Dua tafsiran berkenaan membantu menjelaskan mengapa perbincangan di Fb Zahid Hamidi neutral-negatif dan tidak membentuk sokongan yang jelas ke satu arah. 

Carta ini menunjukkan apa yang paling kerap disebut dan kita boleh lihat ke mana arah sebenar perbualan dalam Fb Zahid Hamidi. 

Fokus utama adalah dalaman Umno kerana hadirnya perkataan paling dominan seperti “UMNO” (99), “kerajaan” (65), “presiden” (33), “dato” (45). 

Ini jelas menunjukkan bahawa perbincangan lebih tertumpu kepada UMNO dan kepimpinan parti, bukannya semata-mata kepada kenyataan Yeo Bee Yin atau keputusan mahkamah. 

Hadirnya perkataan seperti “sokongan” (40), “tarik” (45), “tarik sokongan” (23), “jawatan” menunjukkan pengikut berbincang mengenai kedudukan kuasa dan kestabilan politik.  

Perkataan “DAP” (23) memang wujud tapi kekerapan itu jauh lebih rendah berbanding “UMNO” dan “kerajaan”. Ini menandakan bahawa perbincangan mengenai pihak luar memang wujud tetapi tidak dalam fokus utama perbualan.

Nota Metodologi
Analisis ini dibuat berdasarkan sampel kira-kira 360 komen daripada lebih 12,000 komen yang direkodkan pada satu hantaran Facebook Presiden UMNO. Sampel dipilih secara rawak mewakili pelbagai jenis reaksi pengguna. Analisis membabitkan pengelasan sentimen (neutral, negatif dan positif), serta analisis kata kunci melalui word cloud dan bag of words bagi mengenal pasti fokus perbincangan. Dapatan ini bertujuan memberi gambaran corak perbualan awam, bukan untuk mewakili pandangan keseluruhan rakyat.

tamat






Comments