PERODUA QV-E hadir dengan harapan besar, tetapi beban yang ditanggungnya juga besar. Bukan sekadar isu pajakan bateri yang menimbulkan perdebatan pengguna, QV-E perlu juga memasuki gelanggang yang pesaingnya sudah pun jauh di hadapan.
Persoalannya kini, mampukah Perodua menguasai pasaran EV sehinggakan mereka digelar juara segmen petrol menerusi Bezza, Myvi dan Axia?
Ini berikutan data semasa menunjukkan laluan itu bukan mudah kerana kedudukan pasaran EV ketika ini langsung tidak memihak kepada pendatang baharu.
Jika melihat kepada data pendaftaran EV dari Januari hingga Oktober 2025, Proton sebenarnya sudah membina jurang besar.
Model EV paling banyak didaftarkan 2025:
-
Proton E.Mas 7 – 6,954 unit
-
BYD Sealion – 3,142 unit
-
BYD Atto 3 – 3,129 unit
-
Tesla Model Y – 2,680 unit
-
Tesla Model 3 – 1,486 unit
Model E.Mas 7 bukan sahaja mendahului malah jumlah pendaftaran kenderaannya berganda berbanding pesaing terdekat seperti BYD Sealin dan Atto. Tesla pun berada lebih jauh di belakang.
Ini bermakna QV-E bukan sekadar memasuki pasaran yang sudah mempunyai juara tempatan, tetapi pasaran yang sudah mempercayai Proton sebagai jenama EV mampu milik dan tidak seluas yang dibayangkan.
Sementara itu, analisis ke atas pendaftaran kenderaan dari Januari hingga Oktober 2025 menunjukkan minat terhadap EV memang semakin meningkat, tetapi pasaran kekal milik petrol.
Trend ramalan 12 bulan sehingga Oktober 2026 memberi gambaran bahawa EV berkembang, tetapi tidak cukup pantas untuk mengejar penguasaan kenderaan petrol.
Carta ini menunjukkan jurang yang amat besar di antara pendaftaran kenderaan petrol dan elektrik. Pendaftaran kenderaan petrol kekal stabil antara 47,000 - 69,000 unit sebulan (Jan–Okt 2025) berbanding EV yang cuma 1,600 - 3,345 unit.
Mengikut ramalan berasaskan data asas, pendaftaran kenderaan petrol dijangka konsisten daripada 65,423 (Jan 2026) kepada 76,437 (Okt 2026) iaitu kadar pertumbuhan yang stabil setiap bulan.
EV pula naik secara beransur daripada 4,285 (Jan 2026) kepada 6,600 (Okt 2026) - pertumbuhan positif tetapi jurangnya masih jauh untuk mencabar kenderaan petrol.
Apapun, data yang ada menunjukkan bahawa industri EV di Malaysia masih jauh daripada mencapai titik revolusi manakala arahnya masih bergerak secara beransur-ansur, bukan meledak seperti yang digambarkan.
Sekurang-kurangnya sehingga penghujung 2026, pasaran masih bergerak perlahan dan petrol kekal sebagai raja.
Keadaan itu bukan kerana EV lemah, tetapi kerana ekosistem menampung keperluannya belum cukup matang untuk lonjakan besar.
SUMBER DATA : https://data.gov.my/ms-MY/dashboard/car-popularity
tamat/munir



Comments
Post a Comment