Pada Disember 2022, saya terima satu pautan New York Post - Google CEO dodges anxious staffers' layoffs questions: 'Tough to predict the future' - daripada bekas Pengarang Kumpulan NST, saudara Rashid Yusof.
Saya tak pasti. Saya tanya. Dia kata mungkin boleh ulas sedikit untuk apakhabarTV.com. Insyallah. Lama juga saya peram pautan itu dalam WhatsApp. Saya tahu tapi tak jumpa 'intro'.
Isi berita itu menceritakan mengenai keresahan warga kerja Google yang ingin tahu sama ada mereka akan diberhentikan pada 2023. Artikel berkenaan disiarkan pada 9 Disember 2022.
Apabila soalan sedemikian ditanya CEO Sundar Pichai memberitahu bahawa sukar hendak meramalkan masa depan.
Pada November 2022, Google sebenarnya sudah merancang untuk membuang sekurang-kurangnya enam peratus atau kira-kira 10,000 daripada jumlah keseluruhan pekerjanya.
Bukan Google saja pasang niat mengurangkan pekerjanya. Mengikut koronologi computerworld.com, pada 9 November 2022, Meta - pemilik Facebook & Instagram - sudahpun melepaskan kira-kira 11,000 kakitangannya.
Amazon yang mempunyai 1.5 juta kakitangan mengurangkan kira-kira 30,000 pekerjanya, masing-masing-masing 10,000 pada 14 November 2022 dan 20,000 pada 2 Disember 2022.
Mengikut tech layoff tracker, sekurang-kurangnya 219,959 kakitangan diberhentikan kerja oleh 1,405 syarikat teknologi di seluruh, pada Disember 2022.
Syarikat gergasi teknologi tidak memberitahu dengan jelas alasan mengapa terlalu ramai pekerja diberhentikan.
Hanya memberitahu mereka mengambil pekerja terlalu ramai sepanjang wabak Covid-19, ekonomi 2023 yang tidak menentu, perang di Ukraine, kenaikan harga bahan bakar dan permintaan komputer peribadi yang merosot.
Walaupun apapun alasan yang diberikan oleh pemilik syarikat gergasi teknologi, saya pasti mereka sedang membuat persiapan untuk gangguan digital yang baharu iaitu 'artificial intelligent & machine learning disruption'.
Laporan juga menyebut pasaran AI Asia-Pacifik tumbuh paling pantas iaitu pada kadar 42 peratus CAGR di antara 2022 hingga 2030.
Segmen deep learning pula sudah menguasai 39 peratus pasaran saham dunia pada 2022.
Laporan juga menyebut pertumbuhan pantas AI & ML sebenarnya banyak disumbangkan oleh penembusan pesat teknologi digital dan Internet kebelakangan ini.
Perlumbaan membina aplikasi berasaskan AI & ML tidak dapat disekat lagi dan sudah banyak aplikasi AI & ML diumumkan oleh syarikat teknologi dunia sepanjang tiga tahun kebelakangan ini.
Antaranya adalah LamBDA (Language Model for Dialogue Applications) oleh Google pada 2021 dan ChatGPT oleh OpenAI pada November 2022.
The Wall Street Journal menerusi artikel yang disiarkan pada 8 Mac 2022 menceritakan bahawa Google menyuntik pelaburan kajian dan pembangunan AI AS31,562 bilion pada 2021 berbanding AS$27.573 bilion pada 2020.
Meta pula membelanjakan AS$24.655 bilion pada 2021 berbanding AS$18.447 bilion tahun sebelumnya.
Meta membangunkan 'supercomputer' yang akan membantu penyelidiknya membina model AI untuk memahami semua bahasa, menganalisa teks, gambar dan video - yang akan membantu mengatasi masalah berita palsu.
DeepMind iaitu syarikat AI milik penuh Google pula mengumumkan AlphaCode - iaitu pelantar model deep-learning yang boleh mengatasi separuh daripada kepantasan manusia untuk 'coding'.
Walaupun kelihatan sama dengan ChatGPT, tetapi kedua-duanya - ChatGPT dan AphaCode - bekerja dengan set data yang berbeza.
Maraton pembangunan aplikasi AI & ML untuk menguasai pasaran data di kalangan gergasi teknologi akan berterusan sehinggalah lama-kelamaan tugas manusia itu sendiri diambilalih oleh mesin.

Comments
Post a Comment